Simon Mignolet : Contoh Terbaik Perjuangan Tiada Hentinya

Tatkala ramai yang lebih memandang serta memuji aksi trio serangan Liverpool ramai yang mungkin terlupa bagaimana Simon Mignolet melalui musim ini. Dari ranking sebagai penjaga gol utama musim lalu, kesilapan yang sering kali dilakukannya menyebabkan ramai peminat Liverpool yang begitu teruja tatkala Jurgen Klopp membawa masuk Loris Karius di musim perpindahan sebelum musim bermula.

Mignolet dapat beraksi untuk 5 perlawanan awal liga bersama Liverpool dek kerana Karius mengalami patah tangan ketika aksi pramusim di Amerika Syarikat. Namun, aksinya ketika itu agak membimbangkan apabila beliau dibolosi sebanyak 8 gol dalam 5 aksi awal tersebut. Apa yang boleh diingati tentang Mignolet di awal musim hanyalah aksi tangkasnya untuk menyelamatkan sepakan penalti Walcott seterusnya membantu Liverpool menang perlawanan sulung musim ini dengan keputusan 4-3 di Emirates Stadium.

Namun setelah itu, segalanya agak kelam buat Mignolet di Liverpool.

Tambah menggelapkan lagi masa depannya di Liverpool adalah apabila Mignolet seakan hilang tempatnya sebagai penjaga gol utama. Ini terjadi apabila Klopp mendedahkan yang kedudukan selaku penjaga gol utama Liverpool diserahkan kepada penjaga gol muda dari Jerman, Loris Karius. Saya seakan menantikan kenyataan berbaur kekecewaan dari Mignolet berkaitan hal ini. Namun ianya sama sekali tidak terjadi. Sebaliknya apa yang berlaku adalah pos serta kenyataan-kenyataan positif dari Mignolet.

“I will never give up fighting firstly because that’s not in my character to just give up.”

“Saya tidak akan menyerah kalah kerana itu bukan karakter saya untuk menyerah kalah dengan mudah.”

Kata-kata yang dipegangnya seterusnya membantu beliau untuk kembali berada dalam kesebelasan utama Liverpool. Kata-kata yang pastinya terus dipegangnya hingga kini yang menyaksikan Karius berada di bangku simpanan untuk melihat serta mungkin juga mempelajari sesuatu dari penjaga gol Belgium berusia 28 tahun itu.

Dan aksinya ketika menentang Stoke tempoh hari seakan menutup mulut pengkritik beliau sebelum ini. 2 aksi menyelamat yang menakjubkan serta bertaraf dunia. Sementara buat Klopp pula, aksi menyelamat cubaan Berahino dilabelkan sebagai salah satu aksi menyelamat terbaik yang pernah disaksikan pengurus Jerman itu. Aksi yang juga membuatkan Mignolet dipilih penyokong Liverpool sebagai Man of The Match dalam perlawanan tersebut.

Pastinya apa yang diharapkan oleh penyokong Liverpool seantero dunia ketika ini adalah aksi-aksi tangkas yang dipamerkan Mignolet dalam perlawanan menentang Stoke dapat diteruskan dalam 6 lagi baki perlawanan. Sesuatu yang turut diharapkan Mignolet bagi membantu Liverpool untuk beraksi di Champions League musim depan.

Persoalannya mampukah Mignolet meneruskan aksi cemerlang itu? Dan mampukah Liverpool untuk berada dalam kelompok Top 4 di hujung musim nanti? Sebagai penyokong Liverpool pastinya kita meletakkan jawapan Ya kepada kedua-dua persoalan tersebut.

Artikel: Mskopites Yongreds, Ex Admin Liverpool Malaysian Reds.

Post Author: LMREDS Writer