Adam Lallana Adalah Barisan Hadapan Falsafah Jurgen Klopp

adam lallana

Oleh : Masao Sato

Pemain serangan Liverpool, Adam Lallana sepanjang musim ini telah menjaringkan 4 gol dan 6 bantuan gol untuk kejohanan Liga Perdana Inggeris. Jika pencapaian pemain ini disukat bersandar kepada statistik sudah pasti rumusan yang akan kita sama-sama sepakati adalah pembelian Adam Lallana merupakan satu kegagalan yang mutlak. Lebih-lebih lagi pemain Inggeris ini dibeli dengan nilai yang sangat tinggi iaitu £25 juta.

Ironinya lagenda ulung Barcelona iaitu Xavi Hernandez telah mengiktiraf Adam Lallana sebagai pemain berkualiti yang akan menjadi komponen paling penting dalam percaturan taktikal Roy Hodgson pada kejohanan Euro 2016.

Penyokong bola sepak di seluruh pelosok benua sememangnya cukup kenal dengan kepintaran tiada tolok banding pemain lagenda Barcelona ini ketika zaman kegemilangannya. Pemain tengah maestro ini memiliki otak yang ligat, ketika mengawal bola di kaki, beliau sudah merancang beberapa langkah seterusnya untuk merobek gawang lawan. Beliau bukan hanya bermain menggunakan kaki tetapi pemain ini juga menggunakan akal fikiran yang tajam ketika bermain. Perkara yang tidak dimiliki pemain Malaysia iaitu bermain dengan menggunakan akal fikiran. Oleh sebab itu kata-kata yang keluar dari mulut Xavi Hernandez mengenai Adam Lallana juga adalah hasil buah fikirannya yang tajam.

Sebenarnya kualiti Adam Lallana tidak dapat diketahui jika kita cuba menyukat keupayaan pemain ini bersandar pada bilangan dan nombor. Bilangan,nombor dan statistik tidak mampu menterjemah keupayaan sebenar pemain lincah ini.

Filsuf bola sepak Gegen-Pressing, Jurgen Klopp menggelar pemain ini dengan nama jolokan “pemburu”. Beliau mengetuai barisan hadapan dalam melakukan tekanan berintensiti tinggi hingga menyebabkan pemain lawan berasa tidak aman dan ketakutan ketika memegang bola.

Budaya melakukan tekanan dengan intensti tinggi ini bukanlah perkara baru dalam pasukan Liverpool. Brendan Rodgers cuba membawa masuk budaya ini ketika rejim beliau. Pengurus ini juga pernah menghambur pujian kepada Adam Lallana kerana corak permainannya yang gemar melakukan tekanan secara agresif kepada pemain lawan. Brendan Rodgers juga mengatakan Adam Lallana adalah teladan kepada pemain Liverpool yang lain kerana beliau berpendapat begitulah cara bola sepak perlu dimainkan, pengurus itu mahu setiap pemain bermain dengan melakukan tekanan yang tinggi pada pemain lawan seperti Adam Lallana lakukan.

Menjaringkan gol adalah hanya satu bahagian daripada memenangi perlawanan, ada pelbagai lagi proses yang rumit di sebalik perkara tersebut.

Kepintaran luar biasa beliau dalam melakukan tekanan terhadap pemain lawan tidak mampu disukat bersandar kepada statistik.

Pemain ini juga sering menarik pemain lawan ketika beliau tidak mempunyai bola dan memberi ruang yang terbuka luas kepada pemain di belakangnya.

Perkara ini juga tidak boleh disukat bersandar pada statistik.

Walaupun tidak menjaringkan gol atau membuat bantuan gol, Adam Lallana juga antara  terlibat dalam merencana gerakan serangan yang menyebabkan gol tersebut.

Perkara ini juga tidak boleh disukat bersandar pada statistik.

Pemain ini sangat unik dan beliau sangat berbeza seperti pemain Inggeris tipikal yang lain. Mampu mengawal bola dengan kedua-dua belah kaki, mampu menggelecek dalam ruang yang terhad dan mempunyai skil individu yang tinggi.

Ingat, bola sepak bukan sekadar menjaringkan gol dan membuat bantuan gol. Ada proses yang rumit di sebalik perkara tersebut dan Adam Lallana adalah pemain yang bertanggung-jawab melaksanakan tugas yang rumit itu.

4 gol dan 6 bantuan gol untuk sepanjang musim ini bukanlah satu perkara yang teruk jika cuba dibandingkan dengan Stewart Downing, pemain Liverpool bernilai 19 juta. Pemain kidal England itu mencatat rekod apabila gagal membuat sebarang gol dan bantuan gol sepanjang musim 2011/2012.

 

Post Author: Bos LMreds