Jaringan Penalti Mo Salah Tidak Cukup Untuk Membantu Mesir Dalam Piala Dunia 2018

Tuan rumah Russia membenam Mesir 3 – 1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A awal pagi tadi.

Mo Salah yang mengalami kecederaan bahu ketika perlawanan akhir UCL beberapa minggu lepas, akhirnya kembali diturunkan dalam kesebelasan utama Mesir bagi menebus semula kekalahan di tangan Uruguay minggu lepas.

Ianya merupakan penampilan pertama kali buat Salah setelah ditimpa kecederaan tersebut, setelah beliau tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Uruguay bagi membolehkan beliau lebih bersedia untuk perlawanan ini.

Berhadapan dengan Russia yang disokong oleh peminatnya, Mesir mengalami kesukaran untuk menemui rentak mereka yang diasak secara berterusan sejak wisel permulaan ditiupkan.

Namun gol pertama Russia hanya hadir pada awal babak kedua, setelah Ahmed Fathi tertolak bola ke gawang sendiri.

Selepas itu Russia semakin mengganas dengan 2 gol daripada Denis Cherysev dan Artem Dyzuba bagaikan menamatkan harapan Mesir untuk bangkit.

Sungguhpun begitu, Mesir akhirnya beroleh gol pertama apabila Mo Salah dijatuhkan di dalam petak penalti dan beliau mudah menyempurnakan sepakan tersebut.

Dengan masa berbaki 15 minit, sukar buat skuad kendalian Hector Cuper untuk cuba bangkit bagi menyamakan kedudukan selepas itu.

Egypt akan bertemu Arab Saudi dalam perlawanan ketiga, namun memerlukan bantuan Arab Saudi untuk menewaskan Uruguay bagi menghidupkan sisa perjuangan Mesir yang semakin tipis.

ADMIN

Boleh dah nak ucapkan selamat kembali ke Melwood lebih awal.

Sumber : Liverpool FC

Post Author: Mohd Nuruzzaman