Man United Dan Liverpool “Berseri Seri” Tanpa Jaringan Di Old Trafford

Perlawanan yang kurang menyeronokkan, namun sudah cukup untuk membawa Liverpool kembali ke persada liga.

Klopp melakukan perubahan di barisan pertahanan dengan kali ini memasukkan James Milner sebagai pertahanan kanan manakala Fabinho kembali ke bahagian tengah untuk digandingkan bersama sama Henderson dan Wijnaldum.

Liverpool memperolehi sepakan percuma di dalam petak penalti seawal minit 1 ke atas sesuatu kesalahan yang tidak dipastikan mengapa antara Mane dan De Gea, namun sepakan percuma itu terkena benteng Man United.

Minit ke 6 menyaksikan Rashford memperolehi peluang apabila melepasi kawalan Van Dijk di luar petak penalti namun sepakan lambungnya mudah untuk Alisson.

Liverpool sekali lagi memperolehi sepakan percuma, kali ini di luar petak penalti Man United tetapi sepakan Mo Salah melambung tinggi di hadapan gol.

Man United mula ditimpa masalah apabila terpaksa mengeluarkan Ander Herrera dan memasukkan Andres Pierera pada minit ke 18, namun 5 minit berselang perlawanan terhenti lagi untuk memberi laluan kepada Jesse Lingard menggantikan Juan Mata yang turut cedera.

Namun selepas itu Liverpool pula terpaksa melakukan pertukaran apabila Firmino pula terpelecok ketika melakukan serangan, dikeluarkan pada minit ke 30 untuk Daniel Sturridge.

Allison yang agak senyap akibat penguasaan jitu Liverpool, akhirnya teruji apabila satu hantaran Lukaku di hadapan petak penalti membebaskan Jesse Lingard untuk melakukan larian ke gol namun beliau bijak menepis bola itu pada minit ke 41.

Keadaan semakin sukar buat Solksjaer pada minit ke 43, apabila Lingard terpaksa digantikan dengan Alexis Sanchez juga akibat kecederaan.

Bersambung babak kedua, Man United pula memperkemaskan serangan dengan satu sepakan percuma tepat kepada Pogna pada minit ke 51, namun mudah didakap oleh Alisson tetapi tetap akan dibatalkan kerana pembantu pengadil telah mengangkat bendera.

Perlawanan berlangsung dengan agak hambar dengan Man United selalu mengatur gerak serangan namun terbatas oleh pergerakan Rashford yang mengalami kecederaan sebelum itu.

Minit ke 70, peluang keemasan dimiliki oleh Wijnaldum untuk melakukan tandukan ke gol dengan beliau tidak dikawal tetapi sempat dikeluarkan McTominay, dan sepakan sudut susulan yang menemui Matip juga melambung tinggi yang turut bergelut dengan McTominay ketika itu.

Jurgen Klopp cuba mengubah hala tuju perlawanan dengan mengeluarkan Henderson dan memasukkan Shaqiri pada minit ke 72.

Mimpi ngeri Liverpool hampir menjadi kenyataan pada minit ke 77, apabila satu sepakan percuma berjaya menemui Sanchez yang melepaskan rembatan yang terkena Matip dan menggamatkan stadiun namun beliau telah berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Masa semakin mencemburui, dan Klopp membawa keluar Mo Salah untuk Origi.

Satu satunya peluang yang hadir untuk Man United di penghujung perlawanan adalah satu hantaran Lukaku hampir menemui Smalling yang meluru ke gol pada minit ke 89 tetapi bola terlalu laju untuk beliau dan perlawanan berakhir 2 minit selepas itu.

ADMIN

Kecewa, tapi 1 mata kita sudi menerimanya dari Old Trafford. YNWA.

Post Author: Mohd Nuruzzaman