Diskusi: Kejayaan Musim Lepas Bergantung Pada Pagi Ini

Liverpool akan menentang Hoffenheim dalam perlawanan kedua kelayakan Liga Juara Eropah bagi membolehkan hanya satu sahaja yang akan layak ke peringkat kumpulan. Liverpool tidak pernah bermain dalam perlawanan sebegini ‘besar’ dan menjadi Eropah setelah sekian lama.

PERSIAPAN

Kali terakhirnya adalah Mei 2016 lebih kurang 14 bulan yang lalu dalam Perlawanan Akhir Europa 2016 di mana Liverpool tewas dengan 3-1 ke atas Sevilla juara, yang melengkapkan rekod kejuaraan 3 kali berturut-turut pada musim tersebut.

Setelah perlawanan di Basel itu, Liverpool bermain satu musim tanpa sebarang gangguan perlawanan Eropah dan juga tanpa sebarang pencapaian di peringkat piala. Hanyalah perlawanan Separuh Akhir, tewas di tangan Southampton dalam Piala Liga sahajalah pencapaian terbaik dalam musim lepas secara meritnya.

Mungkin setelah kekalahan dengan Sevilla, Klopp merasakan perlunya segala usaha dan keringat dipertaruhkan dalam musim lepas, sebagai persiapan dalam menjengah kancah Eropah nanti.

Memulakan musim 2016-17 dengan baik, di pertengahan Liverpool berada di puncak liga, tercicir banyak mata selepas Januari dan akhirnya melakukan ‘comeback’ pada akhir musim sebagai 4 tempat terbaik dalam Liga Perdana Inggeris. Ini membolehkan Liverpool layak ke perlawanan kalah mati dan kali ini diundi dengan satu skuad yang sangat progresif iaitu TSV Hoffenheim.

Dengan 3 kali tempoh perpindahan, hampir 30 pemain keluar masuk sepanjang 15 bulan ianya adalah satu tempoh persiapan yang sangat rapi sebenarnya.

MUSIM LEPAS

Musim lepas dimulakan dengan ‘memalukan’ Arsenal di lamannya sendiri hinggalah kemenangan terakhir di perlawanan akhir liga menjadikan Arsenal dan Man Utd, kedua-duanya berada di bawah, buat kali pertama sekian lamanya.

Harus diingat bahawa, usaha dan prestasi sepanjang 12 bulan lepas sebenarnya ditentukan oleh perlawanan pada pagi ini. Semuanya akan ditentukan setelah berakhirnya wisel penamat menentang Hoffenheim nanti.

Walaupun Man Utd tidak layak secara merit 4 terbaik, tetapi kejayaannya dalam Piala Eropa menjadikan pada waktu ini, pasukan daripada England mempunyai 4 wakil. Liverpool bakal menjadikan pasukan yang ke Liga Juara Eropah menjadi 5 pasukan, satu rekod dalam sejarah penubuhan Piala Liga Juara Eropah bagi Persatuan England ini.

Ketika mungkin ada peminat ‘mengejek’ Arsenal yang buat pertama kalinya tidak Layak ke Liga Juara Eropah sejak 10 musim yang lalu, Liverpool masih berpontensi untuk menjadi ‘sahabat’ dalam kempen tersebut musim ini.

Mengapakah peraturan UEFA yang baru, yang menetapkan 4 Tempat Terbaik Liga Utama layak secara automatik ke peringkat kumpulan dilakukan bermula tahun ini?

HOFFENHEIM

Walaupun kemenangan di Jerman seminggu yang lalu adalah satu keputusan yang positif, namun, Hoffenheim tidaklah menyerah kalah dengan mudah di lamannya. Kejayaan Liverpool membenam pasukannya yang sangat kebal di tempat sendiri sejak lebih semusim yang lalu amatlah ‘manis’. Liverpool sekurang-kurangnya berjaya lakukan apa yang Bayern Munich dan Dortmund tidak mampu lakukan.

Tetapi, pengurusnya, Julian Nagelsmann, kekurangan pengalamannya tidak akan menjadikan dirinya ‘tidak berhasrat’ untuk menang dalam perlawnan ini. Dalam temuramah selepas perlawanan lepas, menyatakan bahawa pasukannya tidak akan putus asa dan akan lakukan prestasi yang sama di laman sendiri atau di tempat lawan dengan keyakinan yang sangat tinggi.

Hoffenheim masih boleh kalahkan Liverpool serta membuat satu kejutan untuk dunia. Liverpool hanya kalah dalam 2 kali dalam mana-mana perlawanan kelayakan sejak 16 perlawanan yang lepas. Tetapi itu sejarah lama yang tiada sebarang kena mengena dengan perlawanan terbaru. Jika kesilapan tidak ditutupi dan dilindungi, maka berpotensilah Liverpool untuk ‘terkandang’ di laman Anfield sendiri.

Bagi yang tidak mengenali pasukan ini sebelum ini, mungkin anda sukar untuk mengeja ‘H-O-F-F-E-N-H-E-I-M’ ini. Untuk menyebutnya mnungkin berbelit lidah.

Namun, inilah dia pengaruh Bundesliga yang mempengaruhi lanskap baru dunia kerana rata-rata pasukan yang ada ‘moden’, progresif, dan bagi bekas kelab Roberto Firmino ini beruntung kerana mempunyai pengurus yang sangat muda, lebih muda daripada saya sendiri.

PRESTASI LIVERPOOL

Mujurlah, Liverpool bakal menerima kemasukan pemain baru di Eropah iaitu ‘pemain no 12’ peminat di Anfield nanti. ‘Pemain ini’, sangat dahagakan dan menanti dengan sabar untuk ke kancah ini semula sejak 15 bulan yang lepas.

Ketika ini prestasi Liverpool tidak berada dalam tahap terbaik lagi.

Rata-rata pemain baru ‘click each other’ walaupun tiada banyak perpindahan yang berlaku selain Mo Salah dan Mo Salah. Ya, hanya 1 perpindahan, tetapi sebenarnya Liverpool sedang mengadaptasikan ‘5 perpindahan’ sekaligus secara tidak sedar.

Roberto Firmino berpindah menjadi False 9.
Sadio Mane berpindah menjadi sayap kiri.
Milner berpindah masuk menjadi pemain tengah.
Moreno berpindah masuk ke skuad semula atau Robertson.
Trent menggantikan Clyne yang cedera di bek kanan.
Daniel Sturridge, Origi dan Solanke berebut slot ‘kedua’ sebagai penyerang tengah.
Wijnaldum bertukar ‘tugas’ bersama Emre Can kerana ketiadaan Coutinho.
Henderson yang baru pulih dari kecederaan seolah pemain baru.

Disebabkan inilah, pemain Liverpool masih tidak berada di tahap sebenar lagi. Pun begitu, hanya Sadio Mane sahajalah yang bermain dengan sangat baik. Selebihnya, boleh dikatakan purata prestasi pemain hanyalah maksima 70%. Pun begitu, Liverpool berada di tahap terbaik untuk memiliki aset pemain sedia ada kecuali Coutinho, Lallana, Clyne dan Ings sahaja yang tidak dapat dimasukkan dalam skuad utama. Selebihnya, Klopp boleh gunakan sebagai kesebelasan utama atau menjadi pengganti ‘wira’ daripada bangku simpanan.

Dalam 3 perlawanan yang dilalui, Liverpool tidak pernah kalah. 2 kemenangan dan 1 seri dengan 6 jaringan serta 4 bolos, yang tidak dilupakan hanya 1 ‘clean sheet’.

Klopp mungkin akan ‘mengubah’ sedikit pasukannya daripada apa yang dipaparkan dalam 3 perlawanan ini. Mujur juga Liverpool menentang Crystal Palace lepas, yang mana pasukan itu turut menggunakan taktikal 3 bek tengah dan 2 ‘wing back’ yang turut dilakukan oleh Hoffenheim kendalian Nigelsmann. Beza yang ketaranya, Crystal Palace lebih ‘compact’, manakala Hoffenheim lebih ‘progresif menyerang’.

JIKA….

Jika Liverpool tewas, maka Liverpool akan ‘senasib’ dengan Arsenal untuk bermain pada pagi Jumaat waktu Malaysia untuk peringkat Eropah. Dan kurang 48 jam daripada itu akan menentang pasukan di Liga Perdana Inggeris pada hari Ahadnya.

Saya secara peribadi yakin, akan berlaku ‘perpindahan masuk’ yang ‘agak pasti’ sekiranya Liverpool berjaya ke Liga Juara Eropah. Secara teorinya ianya akan meningkat jumlah wang kepada Liverpool sekitar 30 – 50 juta minima (ini jika kalah peringkat kumpulan).

Mengikut sejarahnya, sekiranya Liverpool perlu melayakkan diri ke Liga Juara melalui pusingan kelayakan, Liverpool pasti sekurang-kurangnya layak ke peringkat kalah mati. Itu yang sering berlaku dan ini mungkin disebabkan kekuatan mental yang telah dibina dari awal.

Walaupun begitu, bolehlah dikatakan perlawanan pada kali ini adalah pasukan ‘terkuat’ yang pernah dilayan oleh Liverpool dalam peringkat kelayakan ini, sebelum ini Liverpool akan dipertemukan dengan pasukan daripada Negara Eropah Generasi Ketiga yang lebih lemah sahaja.

Tetapi ini tidak menghalang untuk Liverpool lakukan ‘keputusan yang diperlukan’.

Titik peluh dan keringat sejak Ogos 2016 hinggalah Mei 2017 adalah ditentukan oleh nasib pada tiupan terakhir perlawanan Liverpool v Hoffenheim ini. Mungkin kejayaan untuk berada di kelompok 4 terbaik ‘sia-sia’ jika Liverpool tidak berjaya mengawal ‘keputusan yang diingini’ dipersaksikan rumput baru Anfield nanti.

Dan harus diingat, jika Liverpool menang pada malam ini, ianya bukanlah satu pengakhiran atau kesempurnaan. Ianya adalah satu permulaan kepada musim 2017/18 ini.

Ditulis untuk : Liverpoolmalaysianreds.com
Oleh : Bos LMreds

Related posts