Figura Penting Di Sebalik Polisi Perpindahan Liverpool Di Bawah FSG

Menyelusuri peranan setiap individu penting yang terlibat dalam semua urusan perpindahan masuk ke dalam The Reds.

Pertama : Jurgen Klopp

Stail pengurusan pengurus dari Jerman ini adalah bukan seperti Sir Alex Ferguson atau Arsene Wenger yang mahukan kawalan penuh dalam segala galanya proses perpindahan.

Sebaliknya, beliau sanggup untuk meneliti dan mendengar setiap cadangan dari sekeliling beliau seperti pencari bakat, pemain, staf kejurulatihan mahupun daripada wartawan.

Namun begitu, beliau memainkan elemen penting dalam strategi perpindahan. Beliau adalah individu yang mengenalpasti posisi manakah yang mahu ditambahbaik, dan pendapatnya terhadap pemain adalah yang paling penting.

Pendapat beliau adalah hampir tepat setiap masa, terutama calon berpotensi untuk dibawa masuk. Peluang untuk bekerja di bawah Klopp adalah satu tawaran yang cukup menarik.

Kedua : Michael Edwards

Ditawarkan jawatan sebagai pengarah sukan kelab pada November 2016, beliau tidak perlukan publisiti yang besar kerana lebih gemarkan tugas di sebalik tabir.

Edwards adalah bekas pemain profesional namun hanya bermain setinggi pemain simpanan Peterborough, yang akhirnya beralih ke jawatan pencari bakat (scout) di Portsmouth setelah mendapat ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan dan informasi dari Universiti Sheffield.

Bersama Pompey, beliau bekerjasama dengan pengurus Harry Redknapp sebagai penganalisis ProZone di sana.

Beliau beralih ke Spurs pada 2009, menjawat jawatan sebagai penganalisis lawan dan akhirnya mengikuti Damien Comolli ke Liverpool 2 tahun kemudian.

Beliau ditugaskan sebagai penganalisis dari zaman Kenny Daglish hinggalah ke zaman Klopp.

Hubungan beliau dengan Rodgers pernah tegang buat seketika, namun sekarang beliau dihormati Klopp dan mereka dipercayai sering berhubung hampir setiap hari.

Tugas utama Edwards adalah mengenalpasti calon pemain berpotensi, berbincang dengan staf kejurulatihan kelab ketika berurusan dengan ejen, kelab dan pengerusi dan juga mempunyai rangkaian scouting yang luas.

Beliau adalah ketua yang bertanggungjawab dalam sebarang perpindahan, dan urusniaga akan dilakukan oleh Ketua Eksekutif kelab, Peter Moore.

Ketiga : Mike Gordon

Sebagai Presiden FSG, beliau merupakan penghubung di antara eksekutif di Liverpool dan pemilik di US. Beliau sering berada di kelab.

Beliau merupakan pemilik saham Liverpool kedua terbesar di kelab, dan mengurustadbir perjalanan kelab melalui FSG. Gordon adalah figura penting dalam perpindahan Virgil Van Dijk, dengan memulihkan lagi hubungan dengan Southampton setelah insiden yang berlaku pada musim panas lepas.

Beliau merupakan orang tengah yang membawa Klopp ke Liverpool, dengan kedua dua figura itu sentiasa mempunyai hubungan baik setakat ini.

Gordon dilantik sebagai ahli lembaga pengarah untuk kelab sejak pembelian oleh FSG, dan sejak beliau membeli lebih banyak saham di Liverpool maka beliau lebih banyak menghabiskan masa di Liverpool berbanding Boston.

Menurut John W Henry :

“Mike dikenali sebagai pelabur profesional yang mempunyai pengurusan kewangan yang bagus di negara ini”.

Keempat : Dave Fallows

Beliau direkrut daripada Man City sejak pelantikan Brendan Rodgers pada 2012.

Fallows adalah ketua pencari bakat dan juga rekrutmen pemain, dengan tanggungjawab beliau untuk mengendalikan rangkaian pencari bakat kelab seluruh dunia berdasarkam pemain yang disasarkan oleh kelab.

Beliau bekerjasama rapat dengan Barry Hunter, ketua pencari bakat (scouting) pasukan utama untuk menghadiri perlawanan, mengutip data dan membuat laporan mengenai pemain sasaran untuk dinilai oleh Edwards, Klopp dan beberapa figura penting lain.

November lepas, Klopp menyatakan bahawa Fallows dan Hunters adalah dua orang penting yang membawa masuk Mo Salah dari Roma pada musim panas lepas.

Menurut Klopp :

“Bahagian scouting sangat teruja dan menyokong pilihan saya, hinggakan mahu menyelesaikan perpindahan itu lebih awal supaya tiada kelab yang bersaing mendapatkan Mo”.

“Micheal Edwards, Dave Fallows dan Barry Hunter berkata hampir setiap masa, dapatkan Mo Salah. Pemain ini bakal menyelesaikan masalah pasukan”.

Kelima : John Achterberg

Mungkin agak mengejutkan, namun apa yang paling penting adalah beliau bertanggungjawab dalam setiap pemilihan penjaga gol yang akan dibawa masuk ke Anfield – selain daripada jurulatih penjaga gol.

Beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam teknikal setiap penjaga gol di dunia – dan pendapat beliau amat diterima baik oleh Klopp.

Beliau turut dihantar untuk meneliti perkembangan penjaga gol – dan terlibat secara langsung dalam menganalisis potensi penjaga gol yang mahu direkrut.

Dengan Liverpool berhajat untuk mendapatkan penjaga gol yang baru, dijangka beliau akan terlibat secara langsung dalam proses itu musim panas ini.

ADMIN

Setiap cadangan atau proses pembelian pemain, akhirnya Jurgen Klopp yang akan buat ‘final say’ dalam sebarang urusan perpindahan masuk. Contoh terbaik, menarik diri dalam urusan perpindahan Thomas Lemar.

Namun mereka juga bijak dalam memanipulasi situasi kelab lain, apabila ‘memaksa’ Roma menjual Mo Salah lebih awal untuk menyelamatkan kelab itu dari situasi “Financial Fair Play”.

Dan siapa lagi yang bakal dibawa masuk? Kita tunggu sahaja ……

Sumber : Liverpool Echo

Related posts