Liverpool Kembali Ke Landasan Kemenangan Dalam Aksi Liga

Namun begitu mereka harus menunggu hingga separuh masa kedua untuk membuka 3 jaringan.

Liverpool mengekalkan hampir kesemua kesebelasan utama mereka ketika dikalahkan di Wembley minggu lepas namun meletakkan Wijnaldum kembali di kesebelasan utama dan juga Daniel Sturridge di bahagian serangan tengah.

Namun begitu Liverpool terpaksa melakukan pertukaran saat akhir disebabkan kecederaan yang dialami Dejan Lovren sejurus sebelum perlawanan dan digantikan dengan Klavan.

Huddersfield bermain dengan penuh berhati hati dan menyerap setiap serangan Liverpool dalam separuh masa pertama.

Liverpool sebenarnya memperoleh sekurang kurangnya 3 peluang keemasan dalam 30 minit pertama, tetapi hanya menyaksikan kuisan Sturridge tinggi dari palang gol.

Manakala dua percubaan tepat masing masing dari Salah dan Milner turut mudah diselamatkan penjaga gol di dakapannya.

Hanya pada minit ke 42, Liverpool memperolehi satu peluang untuk berada di hadapan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil mengesan Roberto Firmino ditarik ketika pergelutan dalam petak penalti Huddersfield ketika sepakan sudut.

Tetapi rembatan Salah ke sisi kanan gawang olehnya ditepis penjaga gol, dan rembatan susulan oleh Hendo hanya menyaksikan tendangannya terkena tiang luar gol Huddersfield.

Separuh masa pertama berakhir dengan disambut dengan cemuhan oleh segelintir penyokong LFC di Anfield.

Bersambung babak kedua, Liverpool memperkemaskan rentak dan akhirnya 4 minit kemudian Sturridge membuka jaringan gol Liverpool apabila Tommy Smith melakukan tandukan tidak kemas ke petak penalti sendiri dan bola itu tepat ke kaki Sturridge untuk disudahkan ke jaring Huddersfield.

Gol itu nyata memberi kelegaan sementara buat Liverpool, dan akhirnya mereka lebih selesa di hadapan apabila giliran Firmino pula menjaringkan gol kedua menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit 57.

Liverpool semakin bernafsu memburu gol, namun Jurgen Klopp membuat keputusan untuk merehatkan Firmino dan menggantikan dengan Alex Oxlade Chamberlain pada minit ke 65.

Pada minit ke 73, Sturridge pula dikeluarkan untuk memberi laluan buat Emre Can.

Sekali lagi Liverpool menambah gol ketiga mereka apabila Wijnaldum yang menerima hantaran pendek Salah melepaskan rembatan ke gawang Huddersfield bagi gol peribadi pertamanya musim ini pada minit ke 73.

Liverpool terus menyerang untuk menjaringkan gol dan Klopp membawa masuk pemain muda Dominic Solanke pada minit ke 80 bagi merehatkan Salah.

Meskipun Huddersfield menerima asakan menerusi beberapa percubaan tepat di lewat permainan, namun Liverpool berpendapat ianya sudah memadak untuk meraih 3 mata malam ini di gelanggang sendiri.

ADMIN

Kemenangan bermakna, namun masih banyak tugasan yang perlu dilakukan Klopp dan anak buahnya selepas ini.

Post Author: Mohd Nuruzzaman