Liverpool Rampas Kembali Takhta Liga Buat Sementara : Tewaskan Bournemouth 3 – 0

Sadio Mane, Georginio Wijnaldum dan Mo Salah masing masing menjaringkan 1 gol bagi membolehkan kelab itu berada di takhta liga sekurang kurangnya 24 jam sebelum sepakmula Man City – Chelsea.

Kali ini Xherdan Shaqiri terpaksa disisihkan buat sementara akibat kecederaan abdomen, sambil meletakkan Trent dan Henderson di bangku simpanan namun menurunkan Wijnaldum kembali.

Tetapi Bournemouth bermula dengan baik apabila satu rembatan Fraser pada minit 1 ditepis Alisson, dan rembatan susulan Ibe terkena Robertson sebagai petanda awal Bournemouth datang bukan untuk kalah.

Hanya minit ke 10 barulah ada gerakan merbahaya daripada Fabinho untuk Mo Salah yang melakukan larian dan disusuli rembatan ke gol namun sedikit tinggi melewati palang gol.

Selang seminit, satu lagi percubaan Mo Salah dari kawasan yang sama tetapi kali ini terkena kaki pertahanan Bournemouth sebelum keluar.

Dan gol semangat yang dicari cari Liverpool akhirnya hadir pada minit ke 23, apabila satu hantaran lintang Milner ditanduk kencang oleh Sadio Mane tanpa dapat dihalang oleh Artur Boruc.

Liverpool semakin bersemangat untuk memburu gol kedua dan hampir melakukannya pada minit ke 29 menerusi satu serangan pantas dari Firmino yang melorongkan tepat kepada Wijnaldum, tetapi beliau “bermurah hati” untuk memberikan kepada Mo Salah dan terkena kaki pemain dari Mesir itu.

Dan Wijnaldum membantu Liverpool untuk melebarkan kedudukan apabila kali ini menerima hantaran jauh Robertson, mengawal dengan baik dan membuat satu lambungan melepasi Boruc untuk gol kedua pada minit ke 34.

Bournemouth semakin tertekan untuk menahan asakan Liverpool, dan Mo Salah memperolehi peluang terbaik pada minit ke 44 dengan berjaya merampas bola dari pertahanan Bournemouth dan disusuli satu voli cantik tetapi ditepis Boruc ke atas palang.

Bersambung babak kedua, Liverpool memperkemaskan hantaran dan hanya memerlukan masa 2 minit untuk menambah gol ketiga.

Bermula dari hantaran “outside foot” Keita yang menemui Firmino, beliau melakukan satu “backheel” dan Mo Salah tidak teragak agak untuk menyambar dan melepaskan rembatan leret untuk melebarkan kedudukan.

Ianya merupakan gol Mo Salah ke 20 musim ini dalam pelbagai kejohanan.

Liverpool semakin rancak menyerang, dan pada minit ke 56 satu hantaran Wijnaldum tepat pada masanya untuk Mane melakukan larian namun tandukan beliau hanya sipi dari gol.

Selang seminit, bekas pemain Liverpool Jordon Ibe dikeluarkan dan digantikan dengan seorang lagi bekas pemain Liverpool yang baru dijual, Dominic Solanke dan diberikan tepukan penghormatan oleh peminat The Reds di Anfield.

Perlawanan berlangsung dengan kedua dua pasukan cuba mengatur gerakan, namun Liverpool lebih bernafsu untuk menambah gol apabila satu hantaran Firmino lagi berjaya menemui Mo Salah yang kemudiannya melepaskan rembatan tetapi terkena palang pada minit ke 75.

Minit 76, Klopp membuat keputusan untuk membawa Wijnaldum keluar dan memasukkan Trent sambil Milner akan kembali ke bahagian tengah.

Sekali sekala, Bournemouth melancarkan serangan dan Mousset melepaskan rembatan kencang ke gol bagi menguji Alisson namun ditepis keluar pada minit ke 78.

Keita sebenarnya berpeluang untuk menambah gol pada minit ke 79, tetapi rembatan Keita ketika itu tinggi meskipun hanya berhadapan penjaga gol.

Dan Firmino berpeluang untuk menambah jaringan menerusi serangan mengejut pada minit ke 86 tetapi rembatan leret beliau di hadapan gol ditangkap kemas oleh Boruc.

Minit ke 87, Mane dikeluarkan untuk Origi dan Trent Alexander Arnold yang baru pulih dari kecederaan mendapat peluang besar untuk melebarkan jaringan namun berjaya dihalang penjaga gol menerusi situasi 1 lawan 1.

Dengan Firmino dikeluarkan untuk Sturridge pada masa kecederaan, satu satunya peluang untuk Bournemouth mencari gol saguhati adalah menerusi bekas pemainnya Liverpool itu sendiri iaitu Dominic Solanke namun rembatan leret deras beliau hanya sedikit keluar dari pintu gol.

Liverpool menarik nafas lega apabila wisel panjang tamat perlawanan dibunyikan dan kembali ke takhta liga untuk tempoh sementara ini.

ADMIN

Liverpool tidak akan beraksi selama 11 hari bermula hari ini untuk memberi laluan kepada Kejohanan FA Cup.

Akhirnya…. Kemenangan. YNWA.

Post Author: Mohd Nuruzzaman