Penalti Mo Salah Meletakkan Liverpool Kembali Ke Landasan Kemenangan

Satu satunya gol tunggal perlawanan untuk membolehkan Liverpool bawa 3 mata penuh dari Brighton.

Jurgen Klopp meletakkan kembali kesebelasan utama beliau dengan menurunkan Alisson, Trent Alexander Arnold, Andy Robertson serta menggandingkan Henderson dan Wijnaldum di bahagian tengah.

The Reds memulakan perlawanan dengan perlahan disebabkan pertahanan Brighton yang agak kemas tersusun, sambil menunggu masa untuk melancarkan serangan balas terhadap Liverpool.

Andrew Robertson berjaya merampas bola dari kesilapan tandukan pertahanan Brighton pada minit ke 8, tetapi hantaran ke tengah beliau gagal disambar oleh Mane dan Firmino juga gagal menyempurnakan dengan baik.

Penguasaan 72% oleh Liverpool namun sedikit sukar menembusi pertahanan kebal Brighton, dan hanya memperolehi peluang keemasan pada minit ke 26 apabila satu ‘cutback’ dari Trent kemudian disusuli dengan hantaran lintang tepat ke kepala Shaqiri namun hanya sipi dari pintu gol.

Perlawanan berlangsung dengan agak membosankan hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua bermula dengan Liverpool cuba untuk mencipta peluang, dan hampir memperolehi gol pertama apabila hantaran terus Wijnaldum tepat ke Salah yang melakukan larian ke dalam petak tetapi malangnya rembatan beliau ditangkap kemas penjaga gol.

Seminit selepas itu, Liverpool pula diberikan sepakan penalti oleh pengadil apabila Shane Duffy menarik tangan Mo Salah hingga terjatuh, dan Salah tidak mempunyai masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu.

Tersentak dengan gol tersebut, barulah nampak Brighton bermain bola sebenar apabila mula melancarkan serangan ke kubu Liverpool.

Dan ianya hampir menjadi kenyataan apabila Pascal Gross memperolehi peluang menerusi rembatan padu namun sempat dihadang Fabinho di hadapan petak penalti pada minit ke 58.

Liverpool mula merombak sedikit barisan serangannya apabila melihatkan Brighton mula galak menyerang, dengan mengeluarkan Shaqiri dan memasukkan James Milner pada minit ke 71.

Minit ke 74, Firmino cuba melakukan larian pantas ke hadapan gol dan cuba mengulangi situasi yang dilakukan ketika menentang Arsenal, namun rembatannya sempat ditepis penjaga gol dan bola muntah gagal disambar di hadapan gol oleh Milner atau Robbo yang berada berdekatan.

Brighton pula semakin berani untuk bergerak ke hadapan, dengan Bong melakukan hantaran lintang tepat kepada Andone yang melakukan larian ke gol tetapi kuisannya tidak tepat ke gawang pada minit ke 77.

Sekali sekala Wijnaldum juga ingin menguji gawang Brighton namun rembatan leret pada minit ke 80 dari luar petak pun sedikit keluar dari gawang.

Minit ke 86, Mo Salah pula melorongkan bola kepada Mane yang tidak dikawal namun sempat dipintas di hadapan gol ketika beliau mahu melepaskan rembatan.

Hasil sepakan sudut itu berjaya menemui Milner di kiri gawang, dan lorongannya berjaya menemui Salah tetapi kuisan “poacher” beliau gagal menemui belakang jaring.

Keita dimasukkan bagi menggantikan Mane pada minit ke 89, dan selang dua minit menuju tamat perlawanan kesilapan beliau membuka ruang buat serangan balas Brighton dengan Trent Alexander Arnold melakukan “vital touch” di hadapan gol untuk menidakkan hantaran itu sampai kepada Locadia.

Meskipun Origi dimasukkan di lewat perlawanan, ianya sudah memadai buat Liverpool untuk membawa 3 mata dari Amex Stadium pada hari ini.

ADMIN

Penalti dengan gol tunggal, kami terima seadanya demi 3 mata. YNWA.

Post Author: Mohd Nuruzzaman