Perkembangan Lain Skuad Liverpool

Ryan Dhanda ke Swansea

Dilaporkan pada Isnin lalu bahawa pemain berpotensi akademi, Yan Dhanda akan meninggalkan Anfield apabila kontraknya tamat musim panas ini. Menurut BBC Sport, beliau telahpun menjalani ujian perubatan di kelab yang baru sahaja tersingkir ke Liga Kejuaraan, Swansea. Swansea telah menamatkan saingan di tangga ke-18, dengan Dhanda bakal beraksi untuk skuad utama The Swans dalam usaha mereka untuk kembali ke Liga Perdana musim depan. Untuk rekod, Dhanda telah menyertai The Reds pada 2013, tetapi gagal menembusi skuad utama walaupun beberapa kali telah berlatih Bersama skuad utama Klopp.

Sementara itu, Jordan Williams, Booby Adekanye, Shamal George, Paolo Alves dan Toni Gomes juga turut akan meninggalkan Anfield, dengan Nathniel Phillips dikhabarkan bakal menandatangani kontrak baru.

Khabar positif untuk Real

Liverpool bakal ke Spain untuk kem latihan mini ‘pra-musim’ yang diharapkan oleh Klopp untuk meningkatkan moral anak buahnya menjelang perlawanan berintensiti tinggi bertemu Real Madrid pada 26 Mei. Gergasi Sepanyol itu masih belum mengakhiri musim La Liga, dengan perlawanan terakhir bertemu Villareal wajib dimenangi untuk sekurang-kurangnya menduduki tangga ke-2 liga di belakang Barcelona, sambal mengharapkan Atletico Madrid tewas.

Liverpool pasti segar memandangkan memperoleh rehat yang cukup, namun Zinedine Zidane kini memiliki lebih pilihan dalam skuadnya memandangkan Cristiano Ronaldo dan Dani Carvajal telah pulih dari kecederaan. Menurut Marca, duo tersebut akan kembali menjalani latihan minggu ini dan boleh diturunkan untuk beberapa minit bertemu Villareal. Ini bermakna Real tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan berbanding Klopp yang kehilangan Joel Matip, Joe Gomez, Emre Can, Alex Oxlade-Chamberlain dan Rian Brewster.

Can disisihkan Germany

Dengan isu kontrak yang belum selesai dan ketiadaannya semasa ‘Lap of honour’ di Anfield, spekulasi kini bertiup kencang mengenai kesahihan kecederaan belakangnya. Beliau kini berada di Frankfurt untuk proses pemulihan, dan dengan isu perpindahan percuma ke Juventus yang semakin hampir pasti, dikhabarkan Klopp telah menyisihkan pemain tersebut kerana komitmen yang tidak memuaskan terhadap pasukan.

Bagaimanapun, Joachim Low telah menamakan skuad awal Germany untuk Piala Dunia 2018, dan Can tidak tersenarai. Ini menguatkan laporan bahawa pemain tersebut sememangnya cedera dan tidak dapat beraksi dalam masa terdekat. Walaubagaimanapun, dikhabarkan beliau telah berlepas ke Marbella untuk menyertai rakan sepasukan dan pastinya berharap agar sempat cergas untuk diturunkan dalam final nanti.

Liverpool & Chelsea belum sepakat mengenai Solanke

Dominic Solanke telah menjaringkan gol pertama di peringkat senior untuk bolasepak Inggeris ketika menang 4-0 bertemu Brighton, dalam penampilan ke-27 bersama Liverpool. Beliau dikritik hebat dengan sentuhan dan corak permainan yang kurang meyakinkan, merencatkan bahagian serangan Liverpool.

Beliau menyertai Liverpool dari Chelsea ketika kontraknya tamat musim panas lalu, dan menurut wartawan ESPN, Gleen Price, kedua-dua pihak masih belum bersetuju mengenai pampasan yang perlu dibayar Liverpool, dalam usaha mereka untuk mengelak tuntutan tribunal. Price menulis, “Kedua-dua kelab masih menunggu hingga ke hujung musim untuk meneruskan perbincangan mengenai nilai sebenar Solanke ketika berpindah musim panas lalu. Persembahan Solanke musim ini, termasuk golnya di Anfield tidak akan mempengaruhi perbincangan ini”

Prestasi Kent – pinjaman yang gagal?

Ryan Kent menyertai Bristol City pada Januari, dengan kelab tersebut mengejar slot ke Liga Perdana Inggeris selepas prestasi pusingan pertama liga yang meyakinkan. Dengan tempoh pinjamannya di Ashton Gate bakal berakhir hujung bulan ini, The Robins menduduki tangga ke-11 liga dan akan terus beraksi di Liga Kejuaran itu musim hadapan.

Kent membuat 11 penampilan untuk kelab itu, dan gagal menjaringkan sebarang gol walaupun berjaya membuat 2 bantuan gol. Ditambah dengan tempoh mengecewakan Bersama Freiburg pada separuh pertama musim 2017/2018, masa depan pemain ini kelihatan samar walaupun mempamerkan aksi menarik ketika pra-musim Liverpool.

Pengurusnya di Bristol, Lee Johnson menjelaskan bahawa Kent agak bergelut dengan prestasi, menurut Bristol Live.

“Ryan Kent adalah seorang bintang muda yang masih tercari-cari potensi sebenar. Berkemungkinan disebabkan oleh masa sukarnya di Germany, atau sememangnya masih belum mencapai kemuncak prestasinya.”

“Kami berharap agar dia dapat menyerlahkan kebolehan sebenarnya secepat mungkin, dan kemungkinan tidak dibantu oleh suasana sekeliling di dalam padang, di mana kita sering tewas dan mempamerkan persembahan buruk. Para penonton pula telah menyaksikan pemain yang jauh lebih baik beraksi di posisinya, dan sememangnya semua itu sukar.”

Kent akan kembali ke pra-musim Bersama Klopp sekali lagi, namun reputasinya kini hampir pasti menutup peluang beraksi untuk skuad utama pada 2018/2019.

Admin AwanAlonso

Kurang dari 2 minggu lagi untuk bertemu Real, dengan kebanyakan pemain akan beraksi bersama skuad kebangsaan masing-masing pada Piala Dunia 2018 Jun ini. Di kesempatan ini kami ingin mengucapkan selamat berpuasa pada semua peminat Liverpool di serata dunia. YNWA

Post Author: Wan LMreds