Perutusan Khas Aidilfitri 1439H Dari Warga Kerja LMREDS

Assalamualaikum dan salam Aidilfitri,

Ehem … Ehem … Testing 1, 2, 3. Mic okay ke? K k k bagus …..

Setelah 29 hari kita mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan, kini tibalah masanya untuk kita meraikan sejenak ‘kemenangan’ kita menentang hawa nafsu sepanjang 1 bulan iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Di kesempatan ini, kami warga kerja di Liverpool Malaysian Reds ingin menyampaikan perutusan khas kepada semua umat Islam yang meraikan Aidilfitri yang jatuh pada 16 Jun 2018.

Sempena Aidilfitri ini, kami dengan rasa penuh keinsafan ingin memohon kemaafan sekiranya ada salah dan silap sepanjang kita berinteraksi atau berkomen di setiap post. Sebagai manusia, kami juga tidak lari dari kesilapan dan yang baik buruk kita jadikan sempadan. Mohon maaf juga jika ada yang termakan, tak tertunai janji, terbanter, tersalah kata atau tergaduh. Baik buruk itu datang dari diri kami sendiri. Walaupun kita berbeza pendapat, tetapi kita tetap penyokong Liverpool. Itu yang kita semua wajar banggakan walaupun setiap tahun kita akan mendengar tagline “This Year Is Our Year” and “Forever”. 

Bagi yang pulang atau sedang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, diharap anda tiba dengan selamat ke destinasi yang dituju. Patuhi had laju jika anda tidak terjejas kewangan gara gara membayar saman, bersabar jika tersekat dalam kesesakan jalanraya. Kami sarankan anda bekal kurma jika boleh, kot kot terpaksa berbuka di dalam kereta dan lebih baik bawa tikar mengkuang sekali. Boleh duduk bersila sambil berbuka atas jalan yang jem. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, jangan hari ini baru tahu lori nak kena servis sebelum balik kampung. Korang buat apa sebulan sebelum ni?

Masih ada masa untuk menunaikan zakat fitrah jika belum berkesempatan menunaikannya. Itu rukun Islam keempat buat kita yang beragama Islam. Dah diajar sejak dari dahulu lagi, takkan tu pun kami kena beritahu. Jangan pula baca “Aku Terima Nikahnya” depan amil. Korang kena hempuk nanti.

Jika masih membeli belah untuk hari raya, kami berharap anda elakkan membeli baju raya sampai 50 pasang. Syawal 30 hari je, berpada pada jika berbelanja walaupun sekarang 0% GST. Korang nak beraya sampai Aidiladha musim depan ke beli baju begitu banyak?

Pastikan rumah anda dalam keadaan berkunci dan maklumkan kepada pihak berkuasa untuk buat rondaan lebih kerap. Yelah, takkan kita beraya di kampung, dan pada masa yang sama penjenayah ‘beraya’ dalam rumah kita. Silap silap licin rumah korang.

Jika berkesempatan, tunaikan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ibarat berpuasa sepanjang tahun. Tingkatkan lagi ibadah kita di bulan Syawal. Takkan Ramadan je kita rajin tunjuk muka di masjid.

Page tetap beroperasi pada hari raya Aidilfitri, rumah terbuka je takds. Korang jangan risau. Mana tau ada transfer padu masuk, dabel happiness korang di Hari Raya ni. 

Malam ini Piala Dunia 2018 bermula antara Russia dan Arab Saudi. Siapa yang sokong kedua dua pasukan tu, mohon berjaga. Tapi jangan lupa tidur. Esok nak solat raya.

Hari Raya jatuh pada hari Jumaat, maksudnya adalah solat Jumaat. Jangan lenjan beraya sampai solat Jumaat terabai. Solat raya korang pergi, solat Jumaat buat buat lupa pula.

Jangan lupa memohon maaf dengan orang tua masing masing. Itu yang paling penting di Aidilfitri. Sedekahkan Al Fatihah kepada orang tua yang telah pergi. Ni asyik sibuk selfie, lepas tu pilih team kaler apa tahun ni. Yang tu boleh up kemudian.

Elakkan sibuk tanya kuih itu ini, langsir made dari mana atau tanya harga sofa rumah jiran masa berkunjung. Korang nak mengeratkan hubungan silaturahim ke atau nak buat bancian barangan di rumah orang?

Kalau ada yang sama kaler, paten atau design baju dengan langsir rumah orang, abaikan. Buat tak tahu je. Korang ada chemistry dari segi citarasa.

Adab kena jaga. Orang tua korang tak nak salam, makwe cun datang korang sibuk nak salam cium tangan.

Akan ada soalan cepu emas “Bila ko nak kawin, bila ko nak ada anak atau bila nak berbini baru”. Harap korang bersedia dengan jawapan dari pakcik dan makcik bawang tu. Jawapan paling afdal ialah, “makcik ada anak perempuan tak?”. Itu contoh. 

Kalau nak cari jodoh, ini lah masanya nak usha anak jiran sebelah, anak sebelah mak angkat, ex gf lama, secret admirer dan anak dara ketua kampung. Pastikan yang anda target itu betul betul perempuan, sebab ramai yang menyamar jadi perempuan sekarang. Yang dah kawin tu, tak payah la nak berangan pasang 2. Silap silap mandi rendang korang masa raya nanti. 

Jangan main mercun banyak sangat. Karang ada meletup di jari, percuma beraya di hospital. Main “pop pop” jadi la.

Sekarang musim mangga kuini. Boleh gak jadi juadah hari raya alternatif jika kuih biskut korang hangus.

Tenang is good.

Bagi yang berhari raya di tempat kerja tu, kami hanya mampu berkata “redha” sahajalah. Bukan selalu, cuma kemeriahan itu dibawa ke tempat kerja. Jangan lupa bawa kuih raya untuk makan bersama sama rakan sekerja. Boleh bertukar tukar juadah.

Kalau ada lemang, ketupat atau rendang lebih sharing is caring. Makan makan ni serah je kat admin Nazz Adam. 

Dan yang terakhir, semoga korang semua terus menyokong Liverpool selepas ini. Jangan jadi lalang atau melalangkan diri sendiri. Korang dua je badi 29 tahun tu berakhir tak lama lagi. 

ADMIN

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Dari kami warga kerja Liverpool Malaysian Reds. You”ll Never “Raya” Alone.

Perutusan ditulis oleh Admin CikMan.

Post Author: Mohd Nuruzzaman