Rentetan Final Liverpool 1977-2007

Jom kita imbas kembali saat-saat dalam 7 final yang lepas menjelang pertemuan bertemu Real Madrid awal pagi Ahad ini.

Liverpool 3-1 Borussia Monchengladbach (Rome, 1977)

Pertemuan pada 1977 ini adalah yang terbesar dalam sejarah Liverpool, memandangkan ini peluang terbaik untuk meraih kejuaraan Piala Eropah ini buat julung kalinya. Borussia Monchengladbach memiliki skuad yang berbakat ketika itu dan merupakan lawan The Reds pada final yang berlangsung di Stadium Olimpico, Rome. Liverpool mendahului melalui Terry McDermott, sebelum disamakan oleh bintang Denmark, Allan Simonsen. Pertahanan veteran, Tommy Smith menanduk masuk gol kedua Liverpool yang merupakan gol pertama peribadinya bagi musim tersebut, selepas 27 perlawanan. Phil Neal melengkapkan malam gemilang The Reds selepas mudah menolak masuk sepakan penalti, apabila Keegan dijatuhkan.

Kesebelasan Utama : Clemence, Neal, Smith, Hughes, Jones, Callaghan, Case, McDermott, Kennedy, Heighway, Keegan

Liverpool 1-0 Club Brugge (Wembley, 1978)

Kevin Keegan meninggalkan Liverpool untuk berhijrah ke Hamburg, sekaligus meninggalkan suasana kurang menyenangkan di Anfield di kalangan penyokong. Ini kerana Keegan adalah kesukaan peminat, dan antara tonggak utama skuad.

Kenny Daglish muncul untuk menggantikan tempatnya selepas meninggalkan Celtic dengan catatan 167 gol, dan tekanan mula dirasai memandangkan pengaruh Keegan yang sangat kuat dikalangan kem Liverpool. Namun Daglish berjaya mencuri tumpuan tersendiri selepas membantu Liverpool ke final, seterusnya menjaringkan gol tunggal kemenangan di Wembley ini. Paling diingati adalah saat di mana ‘King Kenny’ meraikan gol beliau dengan cara melompat melepasi papan iklan di tepi padang. Liverpool berjaya mencatat gelaran juara dua tahun berturut-turut, menjustifikasikan kredibiliti Bob Paisley sebagai pengurus ikonik Liverpool.

Kesebelasan Utama : Clemence, Neal, Smith, Thompson, Hansen, Hughes, Case, McDermott, Souness, Kennedy, Daglish, Fairclough

Liverpool 1-0 Real Madrid (Paris, 1981)

Pertemuan Ahad ini bukanlah kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di final. Pada 1981, kedua-dua gergasi ini berentap di Parc des Princes dalam satu perlawanan yang sengit. Berbaki 8 minit sebelum tamat masa penuh permainan, Alan Kennedy yang menerima lontaran ke dalam terus menggelecek masuk ke kotak penalti Real Madrid sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Agustin Rodriguez.

Untuk makluman, Alan Kennedy merupakan pemain pertahanan kiri dan bukanlah seorang pemain yang diakui luar biasa kehebatannya. Namun aksi beliau dalam final ini (dan juga final di Rome 3 tahun kemudian) membolehkan beliau digelar antara lagenda Liverpool sehingga kini.

Kesebelasan Utama : Clemence, Neal, Thompson, Hansen, Alan Kennedy, Lee, McDermott, Souness, Ray Kennedy, Daglish, Johnson

Liverpool 1-1 AS Roma : penalti 4-2 (Paris, 1984)

Bruce Grobbelaar dikenang dalam perlawanan ini menerusi aksi ‘spaghetti legs’ ketika penentuan sepakan penalti. Beraksi di stadium keramat pihak lawan, Liverpool tidak dianggap sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan akhir ini. Phil Neal dan Roberto Pruzzo masing-masing menjaringkan gol buat kedua-dua pasukan sehingga perlawanan berlanjutan ke sepakan penalti. Aksi Grobbelaar ternyata sedikit memberi kesan selepas Bruno Conti dan Francesco Graziani menyaksikan percubaan mereka tersasar buat Roma. Alan Kennedy menyudahkan sepakan penentuan dalam perlawanan penuh mendebarkan untuk gelaran kali ke-4 buat The Reds.

Kesebelasan Utama : Grobbelaar, Neal, Lawrenson, Hansen, Alan Kennedy, Lee, Johnston, Lee, Souness, Whelan, Daglish, Rush

Liverpool 0-1 Juventus (Brussels, 1985)

Pada tahun yang diselubungi tragedi di Stadium Heysel pada 1985, ini merupakan saat yang suram buat Liverpool di dalam dan luar padang. Pengurus, Joe Fagan cuba untuk mencatatkan kejuaraan berturut-turut sekali lagi buat Liverpool namun sepakan penalti Michel Platini pada separuh masa kedua perlawanan menamatkan impian The Reds.

Sebanyak 39 penyokong Juventus maut manakala lebih 600 lagi cedera, dianggarkan dalam tempoh sejam sebelum perlawanan akhir tersebut berlangsung. Menurut laporan, penyokong Juventus cuba menyelematkan diri selepas penyokong skuad lawan mula merusuh sehingga meruntuhkan tembok pemisah.

Kesebelasan Utama : Grobbelaar, Neal, Lawrenson, Hansen, Beglin, Nicol, Whelan, Wark, Walsh, Daglish, Rush

Liverpool 3-3 AC Milan : Penalti 3-2 (Istanbul, 2005)

Malam yang tidak akan dilupakan. AC Milan di atas kertas merupakan barisan bintang dalam skuad impian. Ketinggalan 0-3 pada separuh masa pertama dan untuk kembali bangkit, sememangnya sesuatu yang memerlukan keajaiban. Dan dengan daya kepimpinan Steven Gerrard yang ternyata menyerlah dalam perlawanan ini, beliau membimbing rakan sepasukannya dalam mengekang asakan AC Milan.

Jerzy Dudek muncul wira dalam penentuan sepakan penalti, dengan bintang Poland itu menyelamatkan sepakan Andriy Shevchenko untuk mencipta gempita The Kops di Stadium Ataturk. Dudek turut menyelamatkan percubaan yang hampir menerjah jaring dalam masa tambahan.

Kesebelasan Utama : Dudek, Finnan, Carragher, Hyypia, Traore, Garcia, Alonso, Gerrard, Riise, Kewell, Cisse

Liverpool 1-2 AC Milan (Athens, 2007)

2 tahun berikutnya, AC Milan mendapat peluang terbaik untuk membalas dendam kekalahan pada final di Istanbul, dalam perlawanan yang berlangsung sederhana di Athens. Walaupun The Reds mempamerkan aksi lebih baik berbanding 2005, sememangnya malam tersebut ternyata bukan milik Liverpool. Sepakan percuma Andrea Pirlo yang membias Filippo Inzaghi masuk ke dalam gol Liverpool, dan sekali lagi Inzaghi memperdaya Reina untuk gol kedua Milan. Kebangkitan yang diharapkan tidak kesampaian walaupun selepas Dirk Kuyt menjaringkan gol pada lewat permainan menerusi tandukan, sekadar untuk gol sagu hati The Reds.

Kesebelasan Utama : Reina, Finnan, Carragher, Agger, Riise, Pennant, Mascherano, Gerrard, Alonso, Zenden, Kuyt

Sumber : This is Anfield

Admin AwanAlonso

Sejarah membuktikan tiada yang mustahil. YNWA Liverpool. 4 hari lagi.

Related posts