Terkini di Anfield

Wilson bakal kembali?

Harry Wilson yang kini dipinjamkan ke Derby County sedang berada dalam prestasi terbaik, dan merupakan tonggak utama pasukan Liga Kejuaraan itu. Namun menurut Derby Telegraph, Wilson mungkin bakal kembali ke Anfield Januari ini.

“Memang terdapat perbincangan di antara Derby dan Liverpool. Mereka begitu bagus dalam mengikuti perkembangan setiap pemain mereka yang dipinjamkan. Terdapat beberapa siri perbincangan, namun kita tunggu dan lihat. Ketika ini dia masih lagi pemain kami, dan sudah tentu kami mahukannya kekal sepanjang musim ini kerana sumbangannya”

Lampard turut menambah,

“Sejak Harry datang ke sini, kita sentiasa berbincang dengannya dan Liverpool, secara terbuka. Bagi saya, dia di sini untuk berkembang sebagai pemain. Saya harap dia kekal bersama kami kerana dan berkerjasama dengan lebih baik”

 

Tarikh Piala FA ditetapkan

Liverpool bakal memulakan kempen Piala FA pusingan ketiga bertemu Wolves pada 6 Januari 2019 (Ahad, 1.00 pagi waktu Malaysia). Klopp pastinya tidak akan gembira dengan jadual yang telah ditetapkan ini, memandangkan The Reds akan bertemu Man City sebelum itu pada 3 Januari (Jumaat, 4.00 pagi waktu Malaysia). Liverpool mencari kejuaraan Piala FA pertama sejak 2006 dalam usaha menamatkan kemarau trofi kelab sejak tahun 2012.

 

Henderson dan Keita

Jordan Henderson memuji persembahan Naby Keita di Turf Moor. Menurut temubualnya bersama Liverpoolfc.com, Keita memiliki banyak kualiti sebagai pemain bolasepak.

“Beliau memulakan musim ini dengan baik, namun sedikit terhenti kerana cedera. Tetapi kini kita boleh melihat betapa bagusnya Keita. Rembatan kaki kirinya dan aksi menyelamat dari Hart memang terbaik. Kami banyak membuat gerakan melalui Keita. Bersama-sama pemain lain, Keita sangat bagus.”

Pemain Guinea itu menunjukkan aksi cemerlang di Burnley dengan gerakan positif dan bertahan secara kolektif.

 

Klopp kritik cara Burnley

Klopp dan Sean Dyche terlibat dalam pertengkaran kecil selepas wisel penamat dibunyikan. Pengurus The Reds itu kemudiannya memaklumkan bahawa beliau tidak menyukai aksi keras ditunjukkan pemain Burnley yang dilihat sedikit keterlaluan.

“Benar, kita menang. Tetapi aksi terjahan dalam keadaan padang basah dan licin sangat bahaya. Pengadil perlu lebih peka mengenai ini. Pemain berdepan risiko kecederaan. Ianya seperti bermain ‘bowling’. Selain bola, ‘tackle’ itu turut menjatuhkan pemain. Ianya terjadi empat atau lima kali. Ok, tiada ‘foul’, tetapi Joe Gomez tetap cedera.”

Alisson Terbaik

Selain Keita, Alisson turut beraksi cemerlang pada pertemuan itu. Beliau yang kini sedang menunjukkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan terakhir. Aksi menyelamatnya di minit-minit terakhir perlawanan serta hantaran tepat kepada Sturridge untuk gerakan gol ketiga Liverpool sememangnya membuktikan kualiti yang ada padanya. Beliau kini menyamai rekod terbaik 15 perlawanan Liga Perdana Inggeris tanpa kalah sejak menyertai The Reds, yang kini dipegang oleh Javier Mascherano. Beliau mampu memecahkan rekod tersebut Sabtu ini bertemu Bournemouth.

Origi ke Sepanyol?

Menurut laporan dari Sepanyol, Real Betis sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan Divock Origi Januari ini. Laporan tersebut menyebut bahawa Origi merasakan sudah sampai masanya beliau meneruskan karier di tempat lain memandangkan minit permainan yang terhad di Anfield. Kelab La Liga itu sememangnya memerlukan tambahan kualiti di barisan serangan, dan perpindahan ini dilihat menguntungkan kesemua pihak. Walaupun berjaya membantu Liverpool menang ke atas Everton tempoh hari, ternyata aksinya masih jauh ketinggalan berbanding barisan seragan utama Liverpool.

 

Admin AwanAlonso

Sekurang-kurangnya Origi masih mampu menambah kenangan manis di Liverpool buat ketika ini.

Post Author: Wan LMreds