The Reds Mudah Benam West Ham United Di Minggu Pembukaan EPL

Gol daripada Mo Salah, dua daripada Sadio Mane dan satu gol daripada Sturridge bantu Liverpool catat kemenangan 4 – 0 di Anfield.

Liverpool memulakan perlawanan dengan Joe Gomez sempat pulih untuk diturunkan manakala Jordan Henderson, Fabinho dan Xherdan Shaqiri berada di bangku simpanan.

Awal permainan menyaksikan Liverpool terus mendominasi perlawanan dengan gerakan gerakan menarik khususnya dari Naby Keita yang beberapa kali cuba mencipta peluang kepada rakan sepasukan barunya.

Liverpool hampir untuk membuka jaringan di minit ke 16, namun hantaran lintang Milner gagal disudahkan dengan baik oleh Firmino dan Salah di hadapan gol serta ‘follow up’ Sadio Mane juga tidak menjadi.

The Reds tidak perlu menunggu lama untuk menjaringkan gol selepas itu apabila satu hantaran pantas dari Robertson ke dalam petak penalti West Ham akhirnya disudahkan oleh Mo Salah untuk gol pembukaan musim ini.

Minit ke 25 menyaksikan giliran Trent Alexander Arnold melakukan sepakan percuma dari luar petak penalti, namun hanya menyaksikan Fabianski bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan itu.

Mo Salah sekali lagi hampir menjadi duri dalam daging buat pertahanan West Ham United, apabila gerakan cantik menerusi Firmino yang melakukan larian dari belakang seterusnya membuat hantaran kepada pemain dari Mesir itu namun Fabianski sekali lagi menyelamatkan percubaan jarak dekat tersebut.

Sejurus sebelum wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan, Sadio Mane mengambil giliran untuk mencetak namanya selaku penjaring apabila James Milner yang berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan West Ham untuk satu hantaran pendek dan disudahkan oleh Mane.

Bersambung babak kedua, tiada tanda untuk Liverpool berhenti bertahan dan sebaliknya menyaksikan kelab itu terus menekan West Ham United.

Dan akhirnya Sadio Mane menambah gol peribadi kedua beliau pada minit ke 53, apabila satu hantaran pendek Firmino menemui pemain itu dan melakukan rembatan leret meskipun pemain itu dilihat seperti berada dalam kedudukan ofsaid.

Jurgen Klopp kemudiannya memasukkan Henderson untuk Firmino pada minit ke 68.

Sekali sekala West Ham turut menyerang Liverpool namun pertahanan Liverpool kental bertahan, hingga Klopp berhasrat untuk memasukkan pemain baru beliau musim ini iaitu Xherdan Shaqiri bagi menggantikan Sadio Mane pada minit ke 80.

Minit ke 87 Liverpool akhirnya mendapat gol keempat mereka menerusi Daniel Sturridge yang ketika itu hanya baru dimasukkan selama 22 saat.

Keputusan itu kekal hingga wisel penamat dan meletakkan Liverpool di persada EPL buat masa sekarang.

ADMIN

Boleh tidur dengan senyum anda semua lepas ni. YNWA.

Post Author: Mohd Nuruzzaman