The Reds Teruskan Rentak Kemenangan Di Turf Moor

Burnley mendahului menerusi Jack Cork seketika namun Liverpool menyumbat 3 gol menerusi James Milner, Firmino dan Shaqiri.

Jurgen Klopp akhirnya melakukan 7 pertukaran pemain disebabkan kecederaan dan isu kecergasan dengan memasukkan Joel Matip, Alberto Moreno, Divock Origi, Daniel Sturridge sementara Jordan Henderson, James Milner dan Naby Keita bergandingan di bahagian tengah.

Liverpool memulakan separuh masa pertama dengan perlahan, dengan satu percubaan deras dari sudut sukar oleh Alberto Moreno namun tinggi melewati palang gol pada minit ke 14.

Klopp terpaksa melakukan pertukaran awal pada minit ke 22 setelah Joe Gomez ditakel keras hingga tercedera dan digantikan oleh Trent Alexander Arnold yang memang berada di bangku simpanan.

Ancaman awal ke gawang Burnley hanya dilakukan pada minit ke 28 menerusi tandukan Van Dijk hasil sepakan sudut namun mudah buat Joe Hart.

Gawang Liverpool nyaris dibolosi menerusi percubaan jarak jauh Bardsley pada minit ke 36, namun sedikit keluar dari pintu gol.

Burnley hampir menghukum Liverpool menerusi sepakan percuma yang tepat menemui Bardsley di petak namun gol itu dibatalkan kerana pemain itu didapati ofsaid terlebih dahulu.

Memasuki babak kedua perlawanan, Liverpool memperkemaskan rentak dan cuba mendahului pada minit ke 46 menerusi satu percubaan luar petak penalti dari Sturridge namun ditepis oleh Joe Hart.

3 minit berselang, giliran Naby Keita pula melakukan larian solo dari tengah padang dan menuju ke luar petak sambil disusuli rembatan ke sudut gawang namu sekali lagi Joe Hart bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Namun pada minit ke 54, Burnley akhirnya membuka gol pendahuluan apabila sepakan sudut yang mencetuskan pergelutan di hadapan gol, gagal dikeluarkan dengan kemas oleh Alisson dan Jack Cork menguis masuk bola di hadapan gol untuk menggamatkan stadium Turf Moor.

Kedudukan itu tidak lama kekal, apabila Origi melakukan hantaran leret kepada Milner di luar petak dan disudahi dengan satu rembatan leret bagi menyamakan kedudukan pada minit ke 60.

Jurgen Klopp selepas itu menambahkan tekanan untuk benteng Burnley dengan memasukkan Mo Salah dan Firmino yang menggantikan Origi dan Moreno pada minit ke 65.

Ternyata ianya membuahkan hasil apabila Firmino meletakkan Liverpool pula di hadapan setelah sepakan percuma Trent berjaya disambar Virgil Van Dijk di hadapan gol Burnley sekaligus melorongkan bola ke tengah gawang yang terbuka luas.

Liverpool terus menekan benteng Burnley dengan asakan bertali arus pada minit ke 81, apabila sekurang kurangnya 3 percubaan dari Keita dari gerakan Mo Salah juga gagal membolosi gawang Burnley.

Burnley hampir memperolehi gol lewat menerusi sepakan sudut sekali lagi dan hanya menyaksikan Alisson menepis satu tandukan di sudut gawang; dan sejurus selepas itu beliau sekali lagi mencipta gerakan pantas untuk Liverpool melancarkan serangan balas pada minit ke 91.

Shaqiri tidak mempersiakan hantaran lambung Mo Salah di hadapan gol Burnley untuk melepaskan rembatan kencang bagi mengesahkan 3 mata penuh dibawa dari Turf Moor.

ADMIN

Ketinggalan itu rasa perit sedikit, namun Liverpool berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan. Tahniah Reds! YNWA.

Post Author: Mohd Nuruzzaman